Sembilan hari uji fizikal, usahawan wanita berjaya tawan Kem Pangkalan Everest
Minat terhadap kecergasan membawa Thamayanthi Thevy Thiagrajan mengharungi cabaran sembilan hari ke Kem Pangkalan Everest yang menuntut kekuatan fizikal dan mental tinggi.
KUALA LUMPUR – Siapa sangka minat terhadap kecergasan akhirnya membawa seorang ibu kepada pengalaman luar biasa mendaki ke Kem Pangkalan Everest.
Menurut Thamayanthi Thevy Thiagrajan, 47, pengalaman sembilan hari itu menuntut tahap ketahanan fizikal, disiplin serta kekuatan mental yang tinggi memandangkan lokasi berkenaan berada pada altitud 5,364 meter dari paras laut.
Beliau berkata, perjalanan tersebut merentasi laluan pergunungan serta perkampungan di kawasan Himalaya dengan keadaan cuaca yang berubah-ubah, termasuk hujan, salji dan panas dalam tempoh singkat sepanjang ekspedisi.
“Ini pengalaman pertama saya di situ dengan mengikut sebuah kumpulan pengembaraan yang disertai 10 individu. Malangnya, beberapa peserta tidak dapat menamatkan pendakian disebabkan masalah kesihatan.
“Kami pada awalnya dimaklumkan suhu lebih panas (pada April berbanding musim lain) namun cuaca sering berubah menjadikan perjalanan lebih mencabar,” katanya sambil menambah ekspedisi tersebut bermula pada 5 April lalu.
Walaupun berdepan cuaca tidak menentu dan udara nipis, usaha serta latihan konsisten membolehkan Thamayanthi Thevy Thiagrajan merealisasikan impian menjejakkan kaki di Kem Pangkalan Everest.
Beliau menjelaskan, kumpulan pendaki berkenaan menempuh perjalanan kira-kira tujuh jam setiap hari sebelum berhenti untuk berehat.
Dalam masa sama, beliau mengakui cabaran suhu dingin serta kandungan oksigen yang semakin berkurangan menjadikan setiap langkah perlu dilakukan dengan penuh tumpuan dan kawalan rapi.
“Saya kekal fokus sepanjang masa. Saya tahu ia akan menjadi sukar tetapi saya sudah bersedia,” kata ibu kepada seorang anak itu.
Bagi memastikan persediaan rapi, Thamayanthi memaklumkan beliau menjalani latihan kecergasan beberapa bulan lebih awal, termasuk latihan mendaki secara konsisten bagi meningkatkan daya tahan serta menyesuaikan diri dengan persekitaran gunung.
Kesungguhan itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya menjejakkan kaki ke Kem Pangkalan Everest seperti yang diimpikan.
“Semua kerja keras itu berbaloi apabila saya dapat melihat Gunung Everest untuk kali pertama. Ia detik yang sangat luar biasa,” katanya.
Kem Pangkalan Everest menjadi lokasi utama persediaan bagi pendaki yang berhasrat menawan puncak tertinggi dunia setinggi 8,848 meter, selain kekal sebagai destinasi pilihan dalam kalangan pendaki dari seluruh dunia.
~ Tribute Malaysia
“Pure Protein For Peak Performance.”
“Pure Protein For Peak Performance.”
Your Partner in Clean, Healthy Living! At Simofit, we’re committed to your wellness journey. Our products are crafted with care, using high-quality ingredients to support a balanced, active lifestyle.